Saturday, December 13, 2008

Dato' Shah Rukh Khan

KECOH apabila bintang Bollywood Shah Rukh Khan atau juga terkenal dengan status SRK dikurnia sebagai penerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) sempena hari jadi Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob ke-70 pada Oktober lalu.

Kecoh kerana penganugerahan tersebut tidak pernah diberi kepada selebriti luar, sehinggalah Kerajaan Negeri Melaka dengan yakin menongkah arus tersebut.

Alasan yang diberi selepas diasak dan dipertikai oleh ramai rakyat Malaysia amat mudah. Kata mereka, DMSM dianugerahkan kepada SRK bagi mengenang jasa beliau dalam bidang seni dan perfileman di peringkat antarabangsa, termasuk di Malaysia.

Dan ia menambah amarah di kalangan karyawan tempatan yang sempat memprotes penganugerahan ini. Kata banyak orang, ia sungguh tidak masuk akal. Sementelah ramai yang mempersenda. Kata nakal yang singgah antaranya SRK tidak tahu di mana letaknya Melaka.

Juga sempat di medium maya, tangan-tangan nakal menyenaraikan nama-nama artis yang layak menerima anugerah ini atas sumbangan menonjolkan budaya atau Malaysia

Termasuk pelakon seksi, Jessica Alba yang pernah membawa karakter seorang wanita Iban Sarawak dalam filem tidak terkenal, The Sleeping Dictionary yang difilemkan di negeri tersebut sekitar akhir 90-an.

Ironinya, biar terus dipertikaikan, SRK tetap mendapat gelaran tersebut. Dan tanggal 6 Disember lalu, selepas beberapa kali rangka lawatannya ke Melaka sempena menerima darjah itu tertangguh, akhirnya ia selamat berada di tangan SRK. Sekali gus merasmikan penerimaan anugerah Datuk Shah Rukh Khan tersebut.

“Saya berharap untuk membina sebuah studio yang mempunyai kelengkapan untuk pembikinan filem di negeri ini.

“Ia juga untuk membantu membangunkan industri perfileman tempatan,” begitu antara iltizam yang diikrar SRK pada hari penuh bersejarah tersebut.

Antara isi janjinya, dia yang hanya berada di Melaka kurang dari 8 jam itu dan segak berbaju melayu hitam turut menyatakan akan kembali ke negeri tersebut untuk menjalani penggambaran penuh di Melaka untuk filem terbarunya, Happy New Year sekitar Ogos atau September tahun hadapan.

Dan dia yang sentiasa menguntum senyum, memberi lambaian ‘bintang’ kepada ribuan peminat setianya yang membanjiri lokasi-lokasi yang disinggahinya ini, begitu teruja mendapat gelaran tersebut.

Tidak kira berada di benua mana, kata pelakon lelaki berusia 43 tahun ini, dia akan selalu berbangga dengan anugerah yang diterima daripada Melaka ini.

Siapa, kenapa SRK?

Dilahirkan di New Delhi, India, SRK dilahirkan dalam keluarga Muslim. Bapanya bernama Taj Mohammed Khan yang dikenali sebagai pejuang keamanan dari Peshawar, Pakistan.

Ibunya, Lateef Fatima pula merupakan anak angkat kepada Mejar Jeneral Shah Nawaz Khan daripada pasukan Janjua Rajput yang berkhidmat untuk pasukan Tentera India.

Sejarah hidup SRK bermula sebaik dia mula mengenal dunia. Seorang yang begitu mementingkan pendidikan, adik kepada Shehnaz ini membina reputasi dirinya dengan mendapat pendidikan di St. Columba dan begitu sukses di dalam bidang akademik, ko kurikulum serta pementasan. Kerana kecemerlangan itu, SRK dianugerahkan sebagai penerima Sword of Honour, simbolik anugerah tertinggi bagi pelajar yang mempunyai reputasi baik.

Dia kemudian menyambung pelajaran di Hansraj College (1985-1988) dan lulus dengan Ijazah Kepujian dalam bidang Ekonomi sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Lanjutan (master) dalam bidang Komunikasi di Jamia Millia Islamia.

Biar sudah mula berjinak dalam bidang komersial pada tahun 1988 menerusi drama siri Fauji, tuah masih belum menyebelahi dia. Hanya selepas kedua ibu bapanya meninggal pada awal 90-an, barulah SRK mula menebarkan auranya di Mumbai pada tahun 1991.

Seperti lancar dan kemasnya perjalanan peribadinya, kerjaya suami kepada Gauri Khan dan bapa kepada dua cahaya mata Aryan Khan serta Suhana ini juga begitu.

Begitu sukses sebagai seorang pelakon, profil SRK juga diisi sebagai seorang hos berpengaruh selain merupakan seorang penerbit yang selalu menerbitkan karya-karya bermutu.

Menjadi fenomena lewat filem sulungnya, Deewana pada tahun 1992, kredibiliti pelakon ini terus terserlah dengan filem-filem pecah panggung seperti Dilwale Dulhaniya Le Jayenge (1995), Kuch Kuch Hota Hai (1998), Om Shanti Om (2007) serta Kabhi Khushi Kabhie Gham (2001) atau Mohabbatein.

Habuannya, tidak sampai 10 tahun, SRK telah memenangi sebanyak 13 kali anugerah pada anugerah tertinggi industri tersebut iaitu Filmfare Awards dengan tujuh daripadanya merupakan anugerah bagi Aktor Terbaik Bollywood.

Kata SRK mengenai kariernya sebagai pelakon: “Saya tidak menyangka mampu diminati sehingga hari ini. Kerana apa yang saya tahu, saya hanya ke lokasi penggambaran untuk menunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang pelakon.”



Tambahnya lagi, barangkali keikhlasan niat sebagai pelakon itu telah membantu dia mencapai sukses luar biasa. Malah dia sendiri kagum apabila filem dengan bahasa yang tidak pernah sama di seluruh dunia ini menjadi medium paling berkesan untuk menebarkan virus atau mesej sesebuah karya.

“Sebab itu saya suka membikin sebuah karya dengan penghabisannya gembira. Kerana hidup ini bukankah harus gembira?,” katanya yang turut menyifatkan karya yang baik adalah apabila jalan ceritanya mudah difahami selain khalayak tidak tertekan dengan penceritaan yang disampaikan.


Menegakkan Islam

Berkahwin dengan seorang penganut Hindu dan anak-anaknya mempraktikkan dua agama iaitu Islam serta Hindu, SRK sendiri hampir disangka sebagai bukan Islam.

Tetapi ringkas lelaki ini menafsirkan tentang pertembungan dua agama di bawah satu bumbung ini sebagai: “Saya amat mempercayai Islam dan Allah.

“Tapi dalam masa yang sama, saya harus menghormati kepercayaan isteri saya. Malah saya ialah seorang Islam sejati dan terus bersembahyang juga bertemu ‘Dia’ dalam apa juga keadaan.”

Justeru ketaatannya kepada Islam cuba dilampiaskan menerusi sebuah filem berjudul My Name Is Khan yang diarahkan oleh sutradara muda, Karan Johar.



Filem yang bakal menyaksikan dia berkolaborasi dengan aktres terkenal Kajol ini dibikin khusus untuk memperbetulkan persepsi masyarakat Barat terhadap Islam yang kini dipropagandakan sebagai sebuah agama yang kejam dan hitam.

Tegas SRK, Islam bukan sebuah agama yang penuh keganasan. “Jadi bagi saya konsep jihad dan peperangan mengikut Allah ada dijelaskan dalam al-Quran. Dan ini yang perlu dilihat dunia,” katanya serius.

Konklusinya, jika inagin menyuaipadankan gelaran yang diperoleh SRK dengan helaian kehidupannya, barangkali dia layak menerimanya - namun dalam konteks berlainan. Ia daripada konteks prolifik yang dibina lelaki ini.

Malah pada Februari lalu, masyarakat Barat sendiri mengiktiraf kredibilitinya apabila patung lilin dirinya ditempatkan di Muzium Madame Tussauds di Perancis.

Maka tidak hairan mengapa dia sampai dianugerahkan dengan gelaran Datuk. Ya, suka atau tidak, SRK kini memegang status Datuk Shah Rukh Khan.

-dipetik daripada kosmo.com.my

Friday, October 31, 2008

MTV SYAMAZ



Inilah pengalamanku semasa praktikal...
Merakamkan suasana persandingan dan akad nikah...
Walaupun penat tapi menarik...hehehehe

Sunday, October 26, 2008

Akhirnya Chelsea dah tak kebal...

LONDON - Liverpool meleburkan rekod 86 perlawanan tanpa kalah Chelsea di tempat sendiri selepas menang 1-0 sekali gus merampas kedudukan pendahulu Liga Perdana England, semalam.

Gol tunggal dan kemenangan Liverpool di Stamford Bridge itu dijaringkan Xabi Alonso seawal minit ke-10 selepas sepakannya terkena pemain pertahanan Chelsea, Jose Bosingwa sebelum menerjah jaring.

Kali terakhir Chelsea kalah di gelanggang sendiri ialah empat setengah tahun lalu kepada Arsenal yang merupakan pasukan terakhir berjaya menewaskan mereka.

Leburnya rekod tanpa kalah Chelsea itu meletakkan Liverpool kini menjadi satu-satunya pasukan yang belum pernah kalah musim ini selepas sembilan perlawanan.

Jaringan Alonso walaupun dianggap gol nasib namun berjaya meletakkan Liverpool sebagai pasukan yang berhak menang perlawanan semalam berdasarkan semangat dan disiplin tinggi yang pemain mereka tunjukkan sepanjang perlawanan.

Dengan kemenangan itu, Liverpool boleh dianggap pilihan awal untuk merangkul kejuaraan liga musim ini selepas pencabar lain seperti Manchester United masih terkial-kial mencari kemenangan.

Liverpool turut menewaskan United 2-1 sebelum ini. Pasukan bimbingan Rafa Benitez itu kini tiga mata di depan Chelsea.

Permulaan cemerlang awal musim yang ditunjukkan Liverpool jelas diteruskan ketika menentang Chelsea semalam walaupun turun tanpa Fernando Torres.

Menguasai sebahagian besar saingan dalam perebutan bola, anak buah Benitez hanya memerlukan 10 minit untuk membuka jaringan.

Gerakan-gerakan Chelsea pula mudah dibaca dan dipatahkan pertahanan Liverpool biar pun meletakkan tiga penyerang di depan.

"Keputusan itu tidak diduga, namun kita percaya Liverpool adalah satu pasukan yang terbaik namun kami mempunyai kekuatan yang sama cuma mereka dapat kelebihan gol sahaja.

"Mereka mempunyai lapan orang bertahan di depan pintu gol dan langsung tidak memberi ruang untuk membolehkan kami mencelah," kata Pengurus Chelsea, Luiz Felipe Scolari dua hari selepas mengatakan pasukannya akan melengkapkan musim ini tanpa kalah.

"Berada di puncak liga memberikan kami semangat baru. Dah empat tahun sejak mereka tidak dikalahkan, ini satu rekod terbaik, tapi ia tidak akan berterusan. Ia akan berhenti satu ketika, dan kami berjaya menjadi penghenti itu," kata pertahanan Liverpool, Jamie Carragher.

- Agensi

Monday, October 20, 2008

Saturday, October 11, 2008

Edisi Khas 2008: Perodua Myvi SE

Perodua Myvi SE

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) melancarkan versi terbaru model terlarisnya, Myvi Edisi Khas (SE) dengan menampilkan beberapa sentuhan segar dari segi reka bentuk luaran dan dalaman.

Ia termasuk bumper depan dengan lampu kabus lebih besar, lampu utama kereta diberi sentuhan terkini yang lebih canggih, dan hiasan skirting penuh berserta rim aloi lebih sporty.

Myvi baru itu turut menyaksikan perubahan dalaman seperti tempat duduk disaluti kulit berwarna gelap untuk semua kerusi, termasuk stereng dan tombol gear menjadikannya lebih eksklusif lagi bergaya serta ruangan untuk tempat letak kasut dibawah tempat duduk. Ia juga disertakan sistem audio baru dilengkapi pemain MP3, USB dan teknologi Bluetooth.

Pengarah Urusan Perodua, Datuk Syed Abdul Hafiz Syed Abu Bakar, berkata pembaharuan itu dibuat berdasarkan perubahan gaya hidup masa kini yang memerlukan sebuah jentera yang anggun dan lengkap.

"Selepas melancarkan Myvi SE pertama pada tahun lalu, kami menerima maklum balas yang menggalakkan untuk model itu".

"Justeru, untuk meningkatkan lagi model terlaris kami ini, kami membuat beberapa penambahan dari segi teknologi serta memaparkan ciri menarik dan sporty bagi menambahkan lagi nilai kereta itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan versi terbaru Myvi SE, di Kuala Lumpur, semalam.

Sejak diperkenalkan pada 2007, sejumlah 33,222 unit Myvi SE kini berada di atas jalan.

Myvi SE baru itu, yang didatangkan dengan dua varian iaitu varian 1.3 liter manual dan 1.3 liter automatik, mempunyai lima warna pilihan - Hitam Ebony, Putih Ivory, Perak Glittering, Putih Mutiara dan Jingga.

Dengan mensasarkan jualan 2,000 unit sebulan, Myvi Se baru itu yang disasarkan kepada golongan profesional muda, berharga antara RM49,900 hingga RM54,000 seunit.

Syed Abdul Hafiz menambah, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran jualan itu berdasarkan permintaan yang menggalakkan ketika ini.

"Kami mensasar jualan sebanyak 172,000 unit tahun ini, peningkatan lima peratus berbanding tahun lalu, susulan permintaan yang kian meningkat untuk kereta Myvi," katanya.

"Daripada jumlah keseluruhan jualan tahun ini, kami menjangkakan Myvi menyumbang kira-kira 51 peratus, dengan 30 peratus disumbang oleh Myvi SE," katanya.

Bagi sembilan bulan pertama tahun ini, Perodua mencatat jualan 130,450 unit berbanding 121,328 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

Berikut adalah harga bagi sebuah Perodua Myvi SE baru:

Perodua Myvi SE Facelift 1.3 M/T (Solid) RM49,900.00
Perodua Myvi SE Facelift 1.3 M/T (Metallic) RM50,400.00
Perodua Myvi SE Facelift 1.3 M/T (Special Metallic) RM50,800.00
Perodua Myvi SE Facelift 1.3 A/T (Solid) RM52,900.00
Perodua Myvi SE Facelift 1.3 A/T (Metallic) RM53,400.00
Perodua Myvi SE Facelift 1.3 A/T (Special Metallic) RM53,800.00



Perodua Myvi SE

Perodua Myvi SE

Perodua Myvi SE

Perodua Myvi SE
Click to enlarge

Perodua Myvi SE
Click to enlarge

Perodua Myvi SE

Sunday, September 28, 2008

ALONSO JUARA GP MALAM SINGAPURA



-Dipetik daripada cyberita.asia1.com.sg
BEKAS juara dunia berganda, Fernando Alonso, mencipta sejarah menjadi pemenang perlumbaan malam Formula Satu yang pertama dalam sejarah apabila beliau memenangi Grand Prix Singapura di Litar Marina Bay semalam.

Bermula dari petak ke-15, pemandu Renault itu memanfaatkan beberapa insiden yang berlaku untuk mencatat keputusan terbaik beliau musim ini.

Nico Rosberg daripada pasukan Williams menduduki tempat kedua, sementara pendahulu senarai pelumba, Lewis Hamilton, di tempat ketiga, sekali gus melebarkan jurang mata antara beliau dengan pesaing terdekatnya, Felippe Massa daripada Ferrari, kepada tujuh.

'Hebat sekali,' kata Alonso selepas perlumbaan.

'Sukar untuk saya mempercayainya. Mungkin saya perlu dua hari untuk percaya. Pada awal tahun ini mustahil untuk memikirkan kami boleh menang, tetapi sejak Jumaat lalu, kami memang amat kompetitif. Semalam, tiada nasib, hari ini bernasib baik,' katanya.

Alonso juga tidak menolak bahawa Kereta Keselamatan telah membantu beliau menang.

Bagi pasukan Ferrari pula, semalam satu malam penuh bencana yang mungkin mahu segera dilupakan mereka.

Massa, yang bermula dari petak pertama, kelihatan selesa di hadapan dan kian menjauhkan dirinya daripada pelumba lain. Namun, berlaku kemalangan yang menukar keseluruhan perlumbaan.

Pemandu Renault, Nelson Piquet, merempuh tembok dan mengundang Kereta Keselamatan masuk ke litar.

Dalam keadaan kereta berebut-rebut masuk dan mengisi minyak, pasukan Ferrari melakukan kesilapan besar apabila Massa memecut keretanya sedang pam minyak masih pada corong tangkinya.

Akibatnya, bukan saja seorang kru Ferrari tersungkur, Massa menarik sekali pam itu hingga ke hujung pit sebelum terpaksa berhenti bagi kru Ferrari mencabutnya.

Massa keluar semula di tempat corot dan kemudian terpaksa melalui penalti melalui lorong pit kerana insiden tadi.

Kimi Raikkonen yang menduduki tempat ketiga sebelum Kereta Keselamatan keluar, gagal mengekalkan kedudukannya dan menyertai semula di bahagian belakang.

Juara dunia itu akhirnya menamatkan perlumbaannya apabila merempuh tembok hanya empat pusingan sebelum tamat perlumbaan 61 pusingan ketika berada di tempat kelima.

Hamilton memungut enam mata daripada perlumbaan ini, sementara Massa dan Raikkonen gagal memungut sebarang mata.

Sunday, September 21, 2008

Wednesday, September 3, 2008

Tuesday, September 2, 2008

Friday, August 29, 2008

SKUAD MANCHESTER UNITED 2008/2009

Logo Merdeka ke-51 mirip simbol anugerah Taiwan?

-Dipetik daripada malaysiakini.com
Logo sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-51 didakwa mirip logo anugerah produk cemerlang yang diberikan oleh kementerian hal-ehwal ekonomi Taiwan.

copy taiwan logo and merdeka 51st celebration logo fiasco 280808 02Logo tiga warna utama Jalur Gemilang yang memenangi hadiah RM10,000 berbeza sedikit daripada lambang anugerah Taiwan, yang serba merah, apabila ia memuatkan tiga bulatan kecil di tengah-tengahnya.

Sisi-sisi reka bentuk itu juga lebih bulat berbanding logo Taiwan itu.

Dengan kerjasama Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA), produk-produk yang cemerlang dari negara itu ditampalkan dengan logo anugerah itu setiap tahun sejak 2003.

Bersama logo merah itu yang telah didaftarkan sebagai cap dagang, produk terbaik republik itu bertulis "It's very well. Made in Taiwan."

Logo sambutan kemerdekaan Malaysia tahun ini dengan slogan 'Perpaduan Teras Kejayaan' dimenangi oleh seorang artis bernama Anuar Dan.

Malaysiakini sedang mendapatkan ulasan artis berkenaan.

Logonya antara 800 penyertaan yang diterima untuk peraduan melukis logo sambutan ulang tahun kemerdekaan negara tahun ini yang bakal disambut dua hari lagi.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melancarkan logo dan slogan itu awal bulan ini bersama lagu baru ciptaan Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) dan Lokman Ghani.

Menurut penjelasan rasmi, logo ini diilhamkan daripada "ikatan tiga figura yang saling berganding bahu menunjukkan perpaduan erat melambangkan 'Perpaduan Teras Kejayaan'.

"Tiga ikatan figura manusia saling berganding bahu menunjukkan rakyat yang bekerjasama di antara satu sama lain dalam menjaga keamanan dan memajukan negara" yang mewakili pelbagai kaum mencapai kejayaan dalam perpaduan.

Di logo sambutan kemerdekaan itu, merah membawa makna keberanian rakyat, putih (kesetiaan keseluruhan rakyat Malaysia), biru (perpaduan yang dijalinkan oleh kaum-kaum di Malaysia), manakala kuning (sistem beraja dan Yang di-Pertuan Agong).

Wednesday, August 27, 2008

Anwar kini rasmi Ketua Pembangkang

Selepas 10 tahun tidak menjejakkan kaki ke Dewan Rakyat, mantan timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini secara rasmi dilantik sebagai Ketua Pembangkang.

Ahli parlimen Permatang Pauh itu, yang baru memenangi kerusi tersebut dua hari lalu, mengangkat sumpah jam 10.05 pagi tadi, sejurus selepas bacaan doa di dewan yang mulia itu.

Anwar, 61, mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Dewan Rakyat.

Katanya, Anwar juga akan diberikan segala keistimewaan yang dinikmati oleh seorang ketua pembangkang.

Anwar yang berbaju Melayu biru tua, kemudian melangkah duduk di kerusi betul-betul berdepan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kerusi itu dulu diduduki isterinya yang mewakili kawasan parlimen yang sama - acara mengangkat sumpah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak lama selepas pilihanraya umum lalu dihadiri Anwar sebagai pasangan seorang anggota Dewan Rakyat.

Penasihat PKR itu memenangi kerusi parlimen tersebut dengan majoriti 15,671 undi Selasa lalu. Beliau mendapat 31,195 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah, 51, yang memperolehi 15,524 undi. Hanafi Mamat, 61, dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) mendapat 92 undi dan hilang wang pertaruhan.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan ahli parlimennya, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai lalu bagi memberi laluan kepada suaminya itu bertanding di situ.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, Dr Wan Azizah menewaskan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail dengan majoriti 13,398 undi. Parlimen Permatang Pauh dikuasai PKR sejak pilihanraya umum 1999 dan sebelum itu dimenangi Anwar atas tiket BN sejak 1982.

Anwar, yang juga mantan timbalan perdana meneri dilucutkan dari jawatan dalam erajaan pada tahun 1998, berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan liwat.

Wednesday, August 13, 2008

Caj perkhidmatan PTPTN turun kepada 1 peratus

PUTRAJAYA 13 Ogos - Kadar caj perkhidmatan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) diturunkan kepada satu peratus berbanding tiga peratus sebelum ini, berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini hari ini. - Utusan

Klip video Yusdi dan Noraini



kembali ke kampung halaman..majlis perkahwinan ibu saudara..penat jugaklah..nak memilih babak pengantin yang menarik...

disebabkan minat yang mendalam, maka penat itu tidaklah terasa sangat..disuruh bergaya dan berposing..disuruh buat itu, disuruh buat ini..tapi, walau dah disuruh buat macam-macam style, namun pengantin tetap senyum..untuk kenangan yang terindah, apa salahnya kan..

anyway, thanks to pengantin yg sporting, parents dan ahli keluarga yang mempercayai untuk mengubah video majlis perkahwinan ini..semuanya sporting beraksi depan camera..hehe

Wednesday, August 6, 2008

Bertanding 26 Ogos tetapi diheret ke mahkamah esok

-Dipetik daripada Harakahdaily.net
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Hrkh) - Tindakan mengheret Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim ke mahkamah sebaik sahaja pengumuman mengenai Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh dibuat adalah usaha menghalang beliau menyertai pilihan raya tersebut.

Demikian kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar dalam respons awalnya terhadap perkembangan tersebut kepada Harakahdaily hari ini .

Anwar dilaporkan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di Jalan Duta jam 10.00 pagi esok.

Sebelum itu, Kamarudin telah mengirimkan satu SMS kepada Harakahdaily menyatakan Anwar akan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Menurut Kamarudin, paling menghairankan tindakan ini dibuat sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya membuat pengumuman penting mengenai pilihan raya Permatang Pauh yang disebut Anwar menjadi medan kembali ke arena politik.

Sementara itu Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin pula menyatakan bahawa tindakan itu berniat jahat dan sengaja dilakukan tatkala kerajaan melihat rakyat memberi sokongan penuh kepada Anwar.

AMK turut kesal dengan perkembangan itu dan menyifatkan ia tindakan yang menyempitkan lagi ruang demokrasi, katanya.

Justeru atas solidariti kepada Anwar, AMK telah menghubungi semua petugasnya untuk mengadakan himpunan menyokong Anwar di hadapan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 9.00 pagi esok.

Anwar dilaporkan akan dihadapkan ke mahkamah esok berikutan kertas siasatan dakwaan liwat yang dibuat Saiful Azlan pada 28 Jun lalu.

Polis dilaporkan telah menyerahkan satu dokumen kepada Anwar berhubung pertuduhan itu.

Dokumen itu diserahkan di kediamannya di Bukit Segambut, tatkala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru sahaja menetapkan tarikh pilihan raya kecil Permatang Pauh yang akan disertainya pada 16 Ogos ini.

Sumber KeADILan menyatakan bahawa, dokumen itu disampaikan oleh pegawai penyiasat kes dakwaan meliwat, DSP Jude Pereira di rumah Anwar jam 12.00 tengahari tadi.

Sementara itu, dalam satu sidang media di Putrajaya pagi tadi, SPR mengumumkan pengundi di Permatang Pauh akan menentukan ahli Parlimen baru kerusi itu pada 26 Ogos.

SPR yang bermesyuarat hari ini menetapkan hari penamaan calon pada 16 Ogos.

Permatang Pauh merupakan kerusi tradisi Anwar selama 17 tahun sejak memenanginya pada 1982 atas tiket BN.

Namun sejak 1998, kerusi itu disandang oleh Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menguasainya selama tiga penggal sewaktu Anwar dipenjarakan pada 1999 dan 2004.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menyatakan seramai 58,459 pemilih termasuk 490 melalui pos layak membuang undi.

Daftar pemilih yang digunakan dalam pilihan raya tersebut dikemaskinikan sehingga 31 Julai, katanya.

Beliau mengingatkan semua calon supaya tidak menyentuh sebarang isu yang melibatkan kes-kes petisyen pilihanraya umum lalu dalam kempen-kempen mereka.

Abdul Rashid juga menyeru calon-calon menjaga tatatertib berkempen dan mematuhi undang-undang.

Permatang Pauh merupakan satu daripada 13 kersui Parlimen di Pulau Pinang, memang 'panas' sejak 1999.

Majoriti pengundi kawasan ini terdiri daripada orang Melayu yang merupakan 68.5 peratus atau 40,039 daripada 58,449 pengundi kawasan itu, diikuti oleh kaum Cina seramai 14,489 orang atau 24.79 peratus dan India 3,581 orang (6.3 peratus) serta lain-lain 240 orang (0.41 peratus).

Kerusi Parlimen Permatang pauh meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Kerusi Dun Seberang Jaya, yang diwakili oleh Datuk Arif Shah Omar Shah daripada BN, mempunyai 22,678 pengundi iaitu Melayu 14,163 orang (62.36 peratus), Cina 5,436 (23.97 peratus), India 2,978 (13.13 peratus) dan lain-lain 122 (0.54 peratus).

Kerusi Dun Permatang Pasir yang diwakili Hamdan Abd Rahman dari PAS mempunyai 20,350 pengundi iaitu Melayu 14,715 orang (72.31 peratus), Cina 5,278 (25.94 peratus), India 328 (1.61 peratus) dan lain-lain 29 (0.14 peratus).

Kerusi Dun Penanti, yang diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin dari PKR mempunyai 15,421 pengundi iaitu Melayu 11,181 orang (72.51 peratus), Cina 3,776 (24.49 peratus), India 375 (2.43 peratus) dan lain-lain 89 (0.57 peratus).

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu Wan Azizah mengalahkan calon BN Datuk Pirdaus Ismail dalam pertandingan satu lawan satu dengan majoriti 13,388 undi.

Namun, 31 Julai lalu beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh.

Tuesday, July 29, 2008

MALAYSIA 0 - 2 CHELSEA

SHAH ALAM 29 Julai – Skuad bola sepak Liga Perdana England, Chelsea sekadar mencatat kemenangan tipis 2-0 ke atas Malaysia dalam perlawanan persahabatan yang menghiburkan di Stadium Shah Alam, malam ini.

Chelsea yang dibarisi pemain terkemuka dunia memperoleh gol menerusi Nicolas Anelka dan Ashley Cole pada minit ke-28 dan ke-53.

Ia merupakan kemenangan paling tipis dicatat oleh kelab itu selepas tiga perlawanan persahabatan sepanjang Siri Jelajah Asia 2008.

Minggu lalu, Chelsea membelasah kelab profesional China, Pharmaceutical Guangzhou 4-0 dan Chengdu Blade 7-0 di negara tersebut.

Turut hadir menyaksikan perlawanan ialah Presiden Persatuan Bola Sepak (FAM), Sultan Ahmad Shah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung FAM, Leftenan Jeneral (B) Datuk Azzuddin Ahmad.

Perlawanan yang bermula pada pukul 8.45 malam itu turut mencatat sejarah apabila disaksikan oleh hampir 50,000 penonton iaitu tertinggi sepanjang perlawanan kelab itu dalam Siri Jelajah Asia.

Begitupun, pujian seharusnya diberikan kepada pemain negara berdasarkan corak permainan yang disajikan sekali gus berjaya memberi tekanan kepada jentera pertahanan The Blues sepanjang 90 minit permainan itu berlangsung.

Buktinya, dua percubaan daripada pemain muda Selangor, Mohd. Amirulhadi Zainal pada awal babak pertama permainan hampir membolosi gawang Chelsea yang dikawal bintang Republik Czech, Peter Cech.

Namun, pada minit ke-29, Nicolas Anelka berjaya menyentap semangat juang pemain negara menerusi gol pertama Chelsea hasil rembatan jarak dekat yang menewaskan penjaga gol Malaysia, Mohd. Helmi Eliza.

Selain itu, bintang baru Chelsea, Deco turut mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun percubaan pemain antarabangsa Portugal itu pada awal permainan gagal menerjah jaring.

Pada minit ke-52, Chelsea berjaya menambah gol kedua menerusi Ashley Cole yang menyempurnakan hantaran daripada Frank Lampard.

Tersentak dengan jaringan itu, pemain-pemain negara yang diketuai Mohd. Shokur Adan kembali mengatur rentak dan peluang terbaik untuk merapatkan jurang gol hadir pada minit ke-58.

Namun, kegopohan Mohd. Zaquan Adha ketika berdepan satu lawan satu dengan Cech menyekat hajat Malaysia untuk mencipta jaringan di hadapan penyokong sendiri.

Dengan kekalahan ini, Malaysia mengulangi episod duka ketika berdepan Chelsea selepas turut tewas 1-4 kepada kelab England itu ketika beraksi pada Kejohanan Piala Liga Perdana England Asia tahun 2003.

Jurulatih bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan memuji kekuatan mental yang dimiliki anak buahnya ketika berdepan asakan daripada pemain Chelsea pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam malam tadi.

Menurut Sathia, 'senjata' itu telah menjadi faktor kepada kejayaan Pilihan Malaysia daripada menjadi mangsa belasahan skuad The Blues selepas mereka hanya tewas 0-2.

"Semua maklum bahawa Chelsea memiliki pemain berkelas dunia dan cukup berpengalaman beraksi di pentas antarabangsa," jelas Sathianathan.

"Jadi tewas dengan jaringan dua gol rasanya cukup memadai berdepan perbezaan dan reputasi kedua-dua pasukan.

"Saya harap, rentak sebegini mampu dikekalkan oleh semua pemain menjelang kejohanan penting selepas ini."

Sementara itu, jurulatih Chelsea berkata, dia lega kerana tidak ada pemain Chelsea yang mengalami kecederaan serius meskipun terpaksa beraksi di padang yang tidak begitu memuaskan.

"Agak sukar untuk pemain saya beraksi di padang seperti ini.

"Pemain saya bermain secara berhati-hati kerana takut mengalami kecederaan," katanya.

Friday, July 25, 2008

Tiket Chelsea-Malaysia dijangka laris

TIKET bagi perlawanan persahabatan antara skuad Pilihan Malaysia dengan kelab gergasi Liga Perdana England, Chelsea pada 29 Julai ini dijangka laris bak pisang panas menjelang dua hari sebelum perlawanan dilangsungkan.

Menurut penganjur dan promoter kempen Jelajah Asia Chelsea 2008, ProEvents International Sdn. Bhd, sehingga kelmarin, sebanyak 25,000 daripada 60,000 tiket bagi perlawanan yang diadakan di Stadium Shah Alam itu telah berjaya dijual.

Setakat ini, tiket berharga RM103 adalah yang paling laris dijual selain tiket berharga RM53 yang disediakan khusus buat pelajar sekolah.

Dalam pada itu, skuad bimbingan Scolari menang 4-0 ke atas Guangzhou Pharmaceutical, perlawanan pertamanya sebagai pengurus.

Bagi peminat bola sepak tempatan yang masih belum mendapatkan tiket perlawanan, mereka boleh membelinya di kaunter Ticketpro dan kedai Adidas seluruh negara atau di Stadium Shah Alam pada hari perlawanan atau hubungi talian hotline 03.78807999.

Buat peminat fanatik The Blues, mereka boleh menyambut ketibaan bintang mereka seperti Frank Lampard, John Terry, Michael Ballack, Nicholas Anelka dan Joe Cole di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 27 Julai jam 6.45 petang.

-dipetik daripada kosmo.com.my

Friday, May 23, 2008

Hadiah istimewa!!

Kemenangan United ke atas Chelsea kelmarin adalah hadiah teristimewa buat bekas pengurus Oak United, Muhd Zulfadhly yang menyambut ulangtahun kelahirannya pada 21 Mei.
Zulfadhly merupakan peminat setia United sejak 2003 dan beliau juga baru menerima Anugerah Ketua Jabatan Politeknik Sabak Bernam, Khamis lepas berkata, "Inilah hadiah teristimewa buat saya setelah berumur 20 tahun. Saya anggap kemenangan United adalah membalas sokongan tidak berbelah bahagi saya kepada United."

Tuesday, May 6, 2008

Najib jangan terlalu awal menilai kerajaan Selangor

Akhbar Berita Harian hari ini memaparkan mengenai kegagalan kerajaan Selangor pada hari ini. Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak dalam kenyataannya mahu rakyat mengambil iktibar daripada kegagalan kerajaan Selangor melaksanakan manifesto pilihan raya umum lalu supaya tidak terpedaya lagi dengan janji 'fantasi' pembangkang. "Ini sebagai satu pembuka mata dan pengajaran kepada pengundi bahawa kita mesti tahu menilai sebelum atau ketika sesuatu pilihan raya diadakan. Ini penting kerana dalam pilihan raya akan datang, lebih banyak janji akan ditaburkan.
Beliau mengulas pengakuan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa kerajaan negeri campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas itu tidak akan melaksanakan pengurangan cukai pintu kediaman sebanyak 20 peratus dan cukai premis komersial 10 peratus pada tahun ini. Sebaliknya, kerajaan negeri itu mahu mengkaji semula janji menurunkan cukai berkenaan selepas memperoleh kaedah sesuai melaksanakannya, tertakluk kepada Bajet 2009 yang akan dibentangkan akhir tahun ini. Abdul Khalid berkata, beliau tidak dapat memberi jaminan bila rakyat Selangor akan menikmati pengurangan cukai itu kerana ia bergantung sepenuhnya kepada jumlah peruntukan kewangan kerajaan negeri berdasarkan Bajet 2009.
Antara janji lain yang terkandung dalam manifesto PKR dan Pas ketika pilihan raya umum lalu ialah cuti bersalin 90 hari, membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor, bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke taman asuhan kanak-kanak, bantuan RM50 sebulan seorang bagi anak yang mengikuti pendidikan pra persekolahan dan memberi RM1,000 kepada anak Selangor yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, pengundi perlu lebih bijak dan matang dalam membuat penilaian serta mampu membezakan antara janji yang realiti atau sekadar cakap politik semata-mata. "Kita sudah menjangka apabila sampai masanya, mereka akan menghadapi kesukaran untuk menunaikan semua janji pilihan raya. Ketika pilihan raya, sesiapapun boleh buat janji dan mungkin ada pihak yang termakan dengan janji itu kerana apabila disebut penurunan cukai, maka memang sesuatu yang diterima oleh sebahagian pengundi. "Saya berharap semua orang sedar bahawa apa yang penting bukan janji, tetapi apakah kemungkinan janji itu mampu ditunaikan, antara janji dan realiti, antara sesuatu yang mungkin dicakap sebagai percakapan politik, tetapi mereka tahu tak mungkin dapat ditunaikan," katanya.
Namun, Najib perlu memberi ruang kepada kerajaan Selangor sekurang-kurangnya setahun dan jangan menilai terlalu awal mengenai kemampuan kerajaan negeri tersebut. Lainlah kerajaan Barisan Nasional yang sudah 50 tahun memerintah dan berkuasa atas segala-galanya.

Friday, May 2, 2008

Zenit, Rangers buat perhitungan


Zenit St. Petersburg melakar kejutan terbesar pada kempen Piala UEFA musim ini apabila menundukkan pasukan Jerman, Bayern Munich yang melakukan rombakan terbesar pada awal musim dengan membelasah 4-0 pada aksi separuh akhir kedua, sekali gus mara menerusi agregat 5-1.

Pasukan dari Rusia yang tidak diletakkan sebagai pilihan utama buat julung kalinya mara ke pentas final selepas CSKA Moscow pada tahun 2005.

"Zenit bermain dengan cemerlang malam ini (kelmarin)," kata penjaga gol Zenit, Vaycheslav Malafeev.

"Kami tidak mempersia-siakan peluang yang diperoleh."

Pada babak akhir, Zenit akan berdepan bekas kelab jurulatih Dick Advocaat, Rangers yang menewaskan Fiorentina 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

Rangers yang dibimbing oleh Advocaat pada tahun 1998 hingga 2002, seri tanpa jaringan dalam kedua-dua perlawanan separuh akhir sebelum kemenangan ditentukan menerusi sepakan penalti.

"Sudah tentu Zenit akan menjadi pasukan pilihan pada perlawanan akhir," kata jurulatih Bayern, Ottmar Hitzfeld.

Mufti Perlis kritik program hiburan melampau 'ala zoo' dalam khutbah

-Dipetik daripada Harakahdaily.net

KANGAR, 2 Mei (Hrkh)- Jika sebuah pemerintahan negara itu boleh diubah dengan perasaan dan kemarahan rakyat, mengapa tidak sebuah program hiburan yang tidak berprinsip juga diubah dengan kuasa rakyat, demikian intipati khutbah Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini.

Katanya, artis membawa budaya yang melampau, bercanggah serta merosakkan bangsa dan budaya Melayu, juga sering mengakibatkan penonton-penonton menjerit-jerit seperti dalam zoo adalah bertentangan dengan agama.

Semasa berkhutbah di Masjid Alwi dekat sini tengahari tadi, Asri menyentuh tentang program Jom Heboh di Perlis yang sibuk diperkatakan apatah lagi beliau sendiri menyatakan bantahan sekiranya program tersebut melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Islam bukanlah agama yang mengongkok sehingga menyusahkan manusia untuk hidup atau mengharamkan semua perkara untuk manusia. Demikian juga berhubung dengan hiburan. Islam tidak menghalang hiburan, tapi meletakkan batas dan mesti mengikut peraturan serta mempunyai garis panduan yang jelas.

"Festival Jom Heboh ini telah dibantah oleh beberapa buah negeri akibat pelbagai kontroversi yang timbul, sehingga ianya melangkah jauh beberapa negeri dan ia hinggap ke negeri ini. Kita bukan anti hiburan dengan mengatakan golongan muda, remaja hatta yang tuapun tak boleh berhibur, tapi mesti berperaturan.

"Kereta kita sendiri, harta sendiri yang dibeli dengan wang sendiri tapi apabila digunakan di jalanraya mestilah mengikut peraturan," katanya memberikan perumpamaan.

Katanya, setiap perkara mesti ada peraturannya dan Islam tidak pernah mengenal istilah hiburan tanpa batas atau hiburan tanpa had.

"Semua semua perkara ada 'rights and limits', ada hak dan hadnya maka apabila ia datang mestilah mengikut peraturan. Kita terkejut bila diiklankan ada artis yang dikenali bermasalah akan datang. Kita menegur bukan kerana beliau membuka baju tapi gelagatnya yangg berterusan. Kita mahu ada misi ada kejelasan.

"Kita tak mau apabila orang melihat hiburan bagikan pergi ke zoo, dengan melompat-lompat dan menjerit-jerit tanpa batasan dan tak tahu identiti.

Tapi dalam masa yang sama kita bercakap tentang memajukan Islam, memajukan umat Islam, mahukan minda kelas pertama tapi dalam masa yg sama kita menyogokkan kepada remaja dengan hiburan yang memperbodohkan mereka, dengan hiburan yang tidak membangunkan minda mereka," tegasnya.

Asri juga melihat betapa buruknya apabila hiburan yang dicontohi dari barat dibawa ke dalam minda anak-anak muda di negara ini.

"Artis di Barat menjerit-jerit dan melompat-lompat, jeritan dan lompatan itu menghasil wang yang banyak untuk menyara mereka dan jadikan manusia seperti kita menjadi pengikut, maka kita menjadi hamba kepada media.

"Tetapi jeritan artis dan remaja kita hanya yang didengar ialah tentang isu, cerita keruntuhan moral, penyalahgunaan dadah dan seumpamanya.

"Kita bercakap tentang kemajuan, adakah remaja kita tidak maju kerana tidak tahu melompat atau menjerit? Maka kita tak dapat menerima artis rock di negeri ini, hiburan kita berperaturan kita tak dapat terima unsur khurafat, campur gaul yang melampaui batasan, pendedahan tubuh dan tidak menghormati sensitiviti orang Islam dengan tidak dapat membezakan waktu solat. Sebelum ini kedengaran muzik dan bunyi-bunyian mengatasi suara azan. Kita telah banyak dicandukan dengan hiburan seperti ini setiap kali ada pesta hiburan yang meruntuhkan moral anak-anak kita," ujarnya.

Selain itu, beliau turut menyentuh tentang pembabitan anak-anak orang Melayu/Islam yang ramai setiap kali berlangsungnya pesta hiburan.

"Anak siapakah yang pergi ke hiburan itu? Kebanyakannya anak orang-orang Melayu yang mengaku Islam. Tapi apabila ada pesta buku, pesta ilmu atau pertandingan yang membangun minda yang kering-kontang adalah anak-anak orang Melayu yang mengaku Islam.

"Keruntuhan moral, keciciran dalam pelajaran dan pelbagai-bagai lagi disebut sedangkan negara ini semakin hari semakin dikutip dan direbut oleh orang lain. Alangkah buruk dan bodohnya generasi ini jika mereka terus dibiarkan tenggelam dalam hal yang sedemikian.

"Kita bukan ekstrimis agama atau anti hiburan tapi kita mahu melihat generasi ini maju ke hadapan dan demikian tanggungjawab kepimpinan orang Islam mestilah berfikir untuk memajukan umat mereka," serunya.

Asri turut menyeru ibu-bapa supaya mengambil tanggungjawab memastikan anak-anak agar tidak terbabit dalam Festival Jom Heboh di Perlis sekiranya ianya gagal mengikuti peraturan yang ditetapkan.

"Jika tidak menurut peraturan, ibu bapa mesti memastikan anak-anak mereka tidak terlibat sama. Allah Taala mengingatkan 'Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, nanti kamu akan disentuh oleh api neraka'.

"Jika mematuhi aturan, bolehlah pergi melawat pameran atau hiburan yang tidak melampau. Tapi jika tidak patuh, kitalah ibu bapa yang bertanggungjawab memastikan unsur-unsur ini tidak meyusup masuk ke jiwa anak-anak.

"Jangan fikir kita sebagai ibu bapa siapalah kita untuk menghalang suatu program yang besar, tetapi hendaklah fikir kitalah yang bertanggungjawab dan memikul amanah.

"Jika pilihanraya yang membabitkan mengubah pemerintahan negara boleh dibubah dengan perasaan dan kemarahan rakyat apabila setiap orang merubahnya, demikianlah juga hiburan, apabila ianya tidak berprinsip, ianya boleh diubah dengan kuasa rakyat," katanya lagi. - mr

Tuesday, April 29, 2008

UNITED MARA KE AKHIR


Setelah 9 tahun menanti akhirnya pasukan yang digelar Red Devils mara ke akhir Liga Juara-juara setelah menundukkan jaguh dari Sepanyol,Barcelona dengan agregat 1-0. Pemain yang tidak beraksi di pentas final 1999 bersama Roy Keane, Paul Scholes menjadi wira apabila meledakkan gol pada minit ke-14.
Dalam perlawanan pagi tadi juga menyaksikan dua pemain 'regular' United Vidic dan Rooney tidak beraksi akibat kecederaan ketika bertemu Chelsea Sabtu lalu.
Dengan kemenangan ini menyaksikan United melebarkan rekod kemenangan di tempat sendiri sebanyak 12 perlawanan berturut-turut semenjak musim lepas. Disamping itu juga peminat dan skuad United juga perlu menunggu hingga awal pagi ini untuk mengetahui lawan yang bakal dihadapi di pentas final nanti sama ada Chelsea atau Liverpool di dalam pertembungan pasukan antara England.