Wednesday, August 27, 2008

Anwar kini rasmi Ketua Pembangkang

Selepas 10 tahun tidak menjejakkan kaki ke Dewan Rakyat, mantan timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini secara rasmi dilantik sebagai Ketua Pembangkang.

Ahli parlimen Permatang Pauh itu, yang baru memenangi kerusi tersebut dua hari lalu, mengangkat sumpah jam 10.05 pagi tadi, sejurus selepas bacaan doa di dewan yang mulia itu.

Anwar, 61, mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Dewan Rakyat.

Katanya, Anwar juga akan diberikan segala keistimewaan yang dinikmati oleh seorang ketua pembangkang.

Anwar yang berbaju Melayu biru tua, kemudian melangkah duduk di kerusi betul-betul berdepan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kerusi itu dulu diduduki isterinya yang mewakili kawasan parlimen yang sama - acara mengangkat sumpah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak lama selepas pilihanraya umum lalu dihadiri Anwar sebagai pasangan seorang anggota Dewan Rakyat.

Penasihat PKR itu memenangi kerusi parlimen tersebut dengan majoriti 15,671 undi Selasa lalu. Beliau mendapat 31,195 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah, 51, yang memperolehi 15,524 undi. Hanafi Mamat, 61, dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) mendapat 92 undi dan hilang wang pertaruhan.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan ahli parlimennya, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai lalu bagi memberi laluan kepada suaminya itu bertanding di situ.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, Dr Wan Azizah menewaskan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail dengan majoriti 13,398 undi. Parlimen Permatang Pauh dikuasai PKR sejak pilihanraya umum 1999 dan sebelum itu dimenangi Anwar atas tiket BN sejak 1982.

Anwar, yang juga mantan timbalan perdana meneri dilucutkan dari jawatan dalam erajaan pada tahun 1998, berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan liwat.

No comments: