Thursday, February 11, 2010

Red Bull RB6 tampil lebih garang

Dipetik daripada kosmo.com.my

HAMBURG – Red Bull Racing menjadi pasukan terakhir yang memperkenalkan jentera baru mereka bagi menghadapi perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.

Jentera RB6 yang mengalami sedikit perubahan berbanding jentera Red Bull musim lalu diperkenalkan buat pertama kali di Litar Jerez, Sepanyol semalam.

Red Bull yang menduduki tempat kedua dalam kategori pengeluar dan pemandu menerusi Sebastian Vettel musim lalu berharap mereka akan mencapai keputusan yang lebih baik musim ini.

Pada musim 2009, jentera RB5 berjaya memberi cabaran sengit kepada pasukan elit F1 lain seperti Brawn GP, Ferrari, McLaren serta BMW Sauber apabila Vettel bertarung untuk merebut gelaran dunia sehingga dua perlumbaan terakhir.

Namun dia terpaksa akur dengan kehebatan pemandu Brawn GP, Jenson Button yang muncul juara dunia.

Pada sesi ujian rasmi kedua di Litar Jerez, Sepanyol Jumaat ini, pemandu Jerman berusia 22 tahun itu dijangka berentap dengan rakan senegaranya yang juga juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher.

Schumacher, 41, akan menguji jentera baru Mercedes GP yang dikenali sebagai W01.

“Saya sudah tidak sabar untuk bersaing dengan Michael walaupun ia hanyalah sesi ujian,” kata Vettel.

Setakat ini, Ferrari muncul satu-satunya pasukan yang dilihat menyerlah apabila menguasai sesi ujian rasmi pertama selama tiga hari di Valencia, Sepanyol minggu lalu. – Agensi