Monday, July 20, 2009

Malaysia 0-2 Manchester United

SKUAD negara terpaksa akur dengan kehebatan lawan mereka, Manchester United apabila tewas 0-2 pada perlawanan persahabatan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Pada perlawanan pertama petang Sabtu lalu, Malaysia sekadar tewas tipis 2-3 dengan Amri Yahyah menjaringkan kedua- dua gol.

Bagi perlawanan kedua ini, pengurus United, Alex Ferguson memilih untuk tidak menurunkan kesebelasan utama Sabtu lalu kecuali mengekalkan pemain pertahanan, Jonny Evans.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal pula mengekalkan kesebelasan yang sama kecuali merehatkan pemain tengah, Amar Rohidan bagi memberi peluang kepada Bunyamin Umar.

Sebelum perlawanan bermula, pemain kedua-dua pasukan dan 40,000 orang penonton bertafakur selama seminit sebagai memperingati peristiwa pengeboman di Jakarta, Jumaat lalu.

Tidak seperti pada perlawanan pertama Sabtu lalu, aksi separuh masa pertama skuad kebangsaan jelas longlai dan tiada langsung percubaan tepat ke arah gol berjaya dihasilkan.

Seawal minit ke-10, United sudah berjaya memperoleh gol pertama menerusi Federico Macheda yang mudah menyempurnakan hantaran Darren Fletcher dari sebelah kanan.

Dua minit kemudian, Michael Owen meletakkan United 2-0 dengan memanfaatkan peluang terbuka di depan gol setelah hantaran lintang Zoran Tosic dari sebelah kiri gagal ditanduk keluar oleh Asrarud- din Putra Omar.

Menyedari kelincahan sayap kiri United, Tosic yang begitu mudah memperdayakan bek kanan, Maz- lizam Mohamad, Rajagobal pantas mengeluarkan pemain Perlis itu dan menggantikannya dengan V. Thirumurugan pada minit ke-14 sebelum mengeluarkan Asrarud- din pada minit ke-32 untuk diganti- kan dengan Azmi Muslim.

Biarpun United terus melakukan beberapa percubaan menarik, gawang Malaysia yang dikawal Farizal Marlias masih mampu bertahan dan kedudukan 2-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, Ferguson memasukkan Tomasz Kuszczak menggantikan Foster manakala Rajagobal memasukkan Norshahrul Idlan Talaha menggantikan Zaquan Adha Radzak.

Aksi di awal babak kedua ini sekadar menyaksikan bola berlegar-legar di tengah padang sambil United sesekali membuat gerakan menarik manakala Malaysia tetap gagal menembusi benteng United.

The Red Giant memperoleh banyak peluang untuk menambah jaringan selepas itu menerusi percubaan tiga pemain gantian, Dar- ron Gibson, Dimitar Berbatov dan Nani tetapi berjaya diselamatkan oleh Farizal.

Pada minit ke-75, rembatan kencang Wayne Rooney sekadar menggegar jaring kiri gawang Malaysia manakala tolakan Anderson pada minit ke-80 sedikit sipi.

Bagaimanapun, tiga percubaan terbaik Malaysia hanya diperoleh di penghujung perlawanan.

Pada minit ke-86, percubaan penyerang gantian, Ahmad Shakir Md. Ali berjaya dihadang oleh Rio Ferdinand, sementara lorongan Khyril Muhymeen gagal disambar kemas oleh Ahmad Shakir.

Saturday, July 18, 2009

Malaysia 2-3 Manchester United


AMRI Yahyah jelas bertukar menjadi idola bola sepak baru peminat tempatan, semalam - segala-galanya menjurus kepada dua gol oleh pemain perancang itu yang membolosi gawang gergasi bola sepak Inggeris, Manchester United di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

“Ini adalah suatu kenangan manis yang tidak akan luput daripada memori saya,” kata pemain perancang Selangor itu yang membuat United terasa cemas satu ketika dengan kelibat jaringannya sebelum Michael Owen menjadi penyelamat pelawat dengan gol kemenangan.

Apapun, secara yakin dia menyuarakan gol pertama minit ke-45 ketika menewaskan penjaga gol tersohor, Edwin Van der Sar tidak mengejutkan kerana dia tahu pemain tinggi lampai dari Belanda itu gemar keluar daripada garisan dan dia berjaya menghukumnya.

“Saya sudah membaca gerakannya (Edwin) dan gembira rembatan jarak jauh itu masuk ke dalam jaring. Gol kedua dijaringkan selepas saya melihat Ben (Foster) tersalah langkah dan dia tak dapat kejar bola. Jadi, saya mencuri kesempatan itu,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurulatih K Rajagobal enggan terbawa-bawa dengan kejayaan meledakkan dua gol menentang United, semalam.

Menyingkap sejarah, barisan terbaik ‘Harimau’ yang dibarisi Rajagobal sendiri, Allahyarham Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh Singh hanya mampu menjaringkan satu gol pada 1981 dalam kekalahan 3-1 disusuli dengan dua perlawanan persahabatan Selangor menentang United pada 1995 yang berakhir dengan kekalahan 6-1 dan 4-0.

Pertemuan pada 2001 menyaksikan Malaysia akur 6-0 kepada pasukan bintang yang diketuai David Beckham.

“Saya tidak mahu terbawa-bawa dengan keputusan ini, Ia hanya satu perlawanan dalam rangka persiapan (Sukan Sea Laos).

“Pemain perlu diberi masa tingkatkan keyakinan,” katanya.