Tuesday, July 29, 2008

MALAYSIA 0 - 2 CHELSEA

SHAH ALAM 29 Julai – Skuad bola sepak Liga Perdana England, Chelsea sekadar mencatat kemenangan tipis 2-0 ke atas Malaysia dalam perlawanan persahabatan yang menghiburkan di Stadium Shah Alam, malam ini.

Chelsea yang dibarisi pemain terkemuka dunia memperoleh gol menerusi Nicolas Anelka dan Ashley Cole pada minit ke-28 dan ke-53.

Ia merupakan kemenangan paling tipis dicatat oleh kelab itu selepas tiga perlawanan persahabatan sepanjang Siri Jelajah Asia 2008.

Minggu lalu, Chelsea membelasah kelab profesional China, Pharmaceutical Guangzhou 4-0 dan Chengdu Blade 7-0 di negara tersebut.

Turut hadir menyaksikan perlawanan ialah Presiden Persatuan Bola Sepak (FAM), Sultan Ahmad Shah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung FAM, Leftenan Jeneral (B) Datuk Azzuddin Ahmad.

Perlawanan yang bermula pada pukul 8.45 malam itu turut mencatat sejarah apabila disaksikan oleh hampir 50,000 penonton iaitu tertinggi sepanjang perlawanan kelab itu dalam Siri Jelajah Asia.

Begitupun, pujian seharusnya diberikan kepada pemain negara berdasarkan corak permainan yang disajikan sekali gus berjaya memberi tekanan kepada jentera pertahanan The Blues sepanjang 90 minit permainan itu berlangsung.

Buktinya, dua percubaan daripada pemain muda Selangor, Mohd. Amirulhadi Zainal pada awal babak pertama permainan hampir membolosi gawang Chelsea yang dikawal bintang Republik Czech, Peter Cech.

Namun, pada minit ke-29, Nicolas Anelka berjaya menyentap semangat juang pemain negara menerusi gol pertama Chelsea hasil rembatan jarak dekat yang menewaskan penjaga gol Malaysia, Mohd. Helmi Eliza.

Selain itu, bintang baru Chelsea, Deco turut mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun percubaan pemain antarabangsa Portugal itu pada awal permainan gagal menerjah jaring.

Pada minit ke-52, Chelsea berjaya menambah gol kedua menerusi Ashley Cole yang menyempurnakan hantaran daripada Frank Lampard.

Tersentak dengan jaringan itu, pemain-pemain negara yang diketuai Mohd. Shokur Adan kembali mengatur rentak dan peluang terbaik untuk merapatkan jurang gol hadir pada minit ke-58.

Namun, kegopohan Mohd. Zaquan Adha ketika berdepan satu lawan satu dengan Cech menyekat hajat Malaysia untuk mencipta jaringan di hadapan penyokong sendiri.

Dengan kekalahan ini, Malaysia mengulangi episod duka ketika berdepan Chelsea selepas turut tewas 1-4 kepada kelab England itu ketika beraksi pada Kejohanan Piala Liga Perdana England Asia tahun 2003.

Jurulatih bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan memuji kekuatan mental yang dimiliki anak buahnya ketika berdepan asakan daripada pemain Chelsea pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam malam tadi.

Menurut Sathia, 'senjata' itu telah menjadi faktor kepada kejayaan Pilihan Malaysia daripada menjadi mangsa belasahan skuad The Blues selepas mereka hanya tewas 0-2.

"Semua maklum bahawa Chelsea memiliki pemain berkelas dunia dan cukup berpengalaman beraksi di pentas antarabangsa," jelas Sathianathan.

"Jadi tewas dengan jaringan dua gol rasanya cukup memadai berdepan perbezaan dan reputasi kedua-dua pasukan.

"Saya harap, rentak sebegini mampu dikekalkan oleh semua pemain menjelang kejohanan penting selepas ini."

Sementara itu, jurulatih Chelsea berkata, dia lega kerana tidak ada pemain Chelsea yang mengalami kecederaan serius meskipun terpaksa beraksi di padang yang tidak begitu memuaskan.

"Agak sukar untuk pemain saya beraksi di padang seperti ini.

"Pemain saya bermain secara berhati-hati kerana takut mengalami kecederaan," katanya.

Friday, July 25, 2008

Tiket Chelsea-Malaysia dijangka laris

TIKET bagi perlawanan persahabatan antara skuad Pilihan Malaysia dengan kelab gergasi Liga Perdana England, Chelsea pada 29 Julai ini dijangka laris bak pisang panas menjelang dua hari sebelum perlawanan dilangsungkan.

Menurut penganjur dan promoter kempen Jelajah Asia Chelsea 2008, ProEvents International Sdn. Bhd, sehingga kelmarin, sebanyak 25,000 daripada 60,000 tiket bagi perlawanan yang diadakan di Stadium Shah Alam itu telah berjaya dijual.

Setakat ini, tiket berharga RM103 adalah yang paling laris dijual selain tiket berharga RM53 yang disediakan khusus buat pelajar sekolah.

Dalam pada itu, skuad bimbingan Scolari menang 4-0 ke atas Guangzhou Pharmaceutical, perlawanan pertamanya sebagai pengurus.

Bagi peminat bola sepak tempatan yang masih belum mendapatkan tiket perlawanan, mereka boleh membelinya di kaunter Ticketpro dan kedai Adidas seluruh negara atau di Stadium Shah Alam pada hari perlawanan atau hubungi talian hotline 03.78807999.

Buat peminat fanatik The Blues, mereka boleh menyambut ketibaan bintang mereka seperti Frank Lampard, John Terry, Michael Ballack, Nicholas Anelka dan Joe Cole di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 27 Julai jam 6.45 petang.

-dipetik daripada kosmo.com.my