Sunday, October 26, 2008

Akhirnya Chelsea dah tak kebal...

LONDON - Liverpool meleburkan rekod 86 perlawanan tanpa kalah Chelsea di tempat sendiri selepas menang 1-0 sekali gus merampas kedudukan pendahulu Liga Perdana England, semalam.

Gol tunggal dan kemenangan Liverpool di Stamford Bridge itu dijaringkan Xabi Alonso seawal minit ke-10 selepas sepakannya terkena pemain pertahanan Chelsea, Jose Bosingwa sebelum menerjah jaring.

Kali terakhir Chelsea kalah di gelanggang sendiri ialah empat setengah tahun lalu kepada Arsenal yang merupakan pasukan terakhir berjaya menewaskan mereka.

Leburnya rekod tanpa kalah Chelsea itu meletakkan Liverpool kini menjadi satu-satunya pasukan yang belum pernah kalah musim ini selepas sembilan perlawanan.

Jaringan Alonso walaupun dianggap gol nasib namun berjaya meletakkan Liverpool sebagai pasukan yang berhak menang perlawanan semalam berdasarkan semangat dan disiplin tinggi yang pemain mereka tunjukkan sepanjang perlawanan.

Dengan kemenangan itu, Liverpool boleh dianggap pilihan awal untuk merangkul kejuaraan liga musim ini selepas pencabar lain seperti Manchester United masih terkial-kial mencari kemenangan.

Liverpool turut menewaskan United 2-1 sebelum ini. Pasukan bimbingan Rafa Benitez itu kini tiga mata di depan Chelsea.

Permulaan cemerlang awal musim yang ditunjukkan Liverpool jelas diteruskan ketika menentang Chelsea semalam walaupun turun tanpa Fernando Torres.

Menguasai sebahagian besar saingan dalam perebutan bola, anak buah Benitez hanya memerlukan 10 minit untuk membuka jaringan.

Gerakan-gerakan Chelsea pula mudah dibaca dan dipatahkan pertahanan Liverpool biar pun meletakkan tiga penyerang di depan.

"Keputusan itu tidak diduga, namun kita percaya Liverpool adalah satu pasukan yang terbaik namun kami mempunyai kekuatan yang sama cuma mereka dapat kelebihan gol sahaja.

"Mereka mempunyai lapan orang bertahan di depan pintu gol dan langsung tidak memberi ruang untuk membolehkan kami mencelah," kata Pengurus Chelsea, Luiz Felipe Scolari dua hari selepas mengatakan pasukannya akan melengkapkan musim ini tanpa kalah.

"Berada di puncak liga memberikan kami semangat baru. Dah empat tahun sejak mereka tidak dikalahkan, ini satu rekod terbaik, tapi ia tidak akan berterusan. Ia akan berhenti satu ketika, dan kami berjaya menjadi penghenti itu," kata pertahanan Liverpool, Jamie Carragher.

- Agensi

No comments: