Tuesday, May 6, 2008

Najib jangan terlalu awal menilai kerajaan Selangor

Akhbar Berita Harian hari ini memaparkan mengenai kegagalan kerajaan Selangor pada hari ini. Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak dalam kenyataannya mahu rakyat mengambil iktibar daripada kegagalan kerajaan Selangor melaksanakan manifesto pilihan raya umum lalu supaya tidak terpedaya lagi dengan janji 'fantasi' pembangkang. "Ini sebagai satu pembuka mata dan pengajaran kepada pengundi bahawa kita mesti tahu menilai sebelum atau ketika sesuatu pilihan raya diadakan. Ini penting kerana dalam pilihan raya akan datang, lebih banyak janji akan ditaburkan.
Beliau mengulas pengakuan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa kerajaan negeri campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas itu tidak akan melaksanakan pengurangan cukai pintu kediaman sebanyak 20 peratus dan cukai premis komersial 10 peratus pada tahun ini. Sebaliknya, kerajaan negeri itu mahu mengkaji semula janji menurunkan cukai berkenaan selepas memperoleh kaedah sesuai melaksanakannya, tertakluk kepada Bajet 2009 yang akan dibentangkan akhir tahun ini. Abdul Khalid berkata, beliau tidak dapat memberi jaminan bila rakyat Selangor akan menikmati pengurangan cukai itu kerana ia bergantung sepenuhnya kepada jumlah peruntukan kewangan kerajaan negeri berdasarkan Bajet 2009.
Antara janji lain yang terkandung dalam manifesto PKR dan Pas ketika pilihan raya umum lalu ialah cuti bersalin 90 hari, membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor, bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke taman asuhan kanak-kanak, bantuan RM50 sebulan seorang bagi anak yang mengikuti pendidikan pra persekolahan dan memberi RM1,000 kepada anak Selangor yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, pengundi perlu lebih bijak dan matang dalam membuat penilaian serta mampu membezakan antara janji yang realiti atau sekadar cakap politik semata-mata. "Kita sudah menjangka apabila sampai masanya, mereka akan menghadapi kesukaran untuk menunaikan semua janji pilihan raya. Ketika pilihan raya, sesiapapun boleh buat janji dan mungkin ada pihak yang termakan dengan janji itu kerana apabila disebut penurunan cukai, maka memang sesuatu yang diterima oleh sebahagian pengundi. "Saya berharap semua orang sedar bahawa apa yang penting bukan janji, tetapi apakah kemungkinan janji itu mampu ditunaikan, antara janji dan realiti, antara sesuatu yang mungkin dicakap sebagai percakapan politik, tetapi mereka tahu tak mungkin dapat ditunaikan," katanya.
Namun, Najib perlu memberi ruang kepada kerajaan Selangor sekurang-kurangnya setahun dan jangan menilai terlalu awal mengenai kemampuan kerajaan negeri tersebut. Lainlah kerajaan Barisan Nasional yang sudah 50 tahun memerintah dan berkuasa atas segala-galanya.

No comments: