Friday, May 23, 2008

Hadiah istimewa!!

Kemenangan United ke atas Chelsea kelmarin adalah hadiah teristimewa buat bekas pengurus Oak United, Muhd Zulfadhly yang menyambut ulangtahun kelahirannya pada 21 Mei.
Zulfadhly merupakan peminat setia United sejak 2003 dan beliau juga baru menerima Anugerah Ketua Jabatan Politeknik Sabak Bernam, Khamis lepas berkata, "Inilah hadiah teristimewa buat saya setelah berumur 20 tahun. Saya anggap kemenangan United adalah membalas sokongan tidak berbelah bahagi saya kepada United."

Tuesday, May 6, 2008

Najib jangan terlalu awal menilai kerajaan Selangor

Akhbar Berita Harian hari ini memaparkan mengenai kegagalan kerajaan Selangor pada hari ini. Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak dalam kenyataannya mahu rakyat mengambil iktibar daripada kegagalan kerajaan Selangor melaksanakan manifesto pilihan raya umum lalu supaya tidak terpedaya lagi dengan janji 'fantasi' pembangkang. "Ini sebagai satu pembuka mata dan pengajaran kepada pengundi bahawa kita mesti tahu menilai sebelum atau ketika sesuatu pilihan raya diadakan. Ini penting kerana dalam pilihan raya akan datang, lebih banyak janji akan ditaburkan.
Beliau mengulas pengakuan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa kerajaan negeri campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas itu tidak akan melaksanakan pengurangan cukai pintu kediaman sebanyak 20 peratus dan cukai premis komersial 10 peratus pada tahun ini. Sebaliknya, kerajaan negeri itu mahu mengkaji semula janji menurunkan cukai berkenaan selepas memperoleh kaedah sesuai melaksanakannya, tertakluk kepada Bajet 2009 yang akan dibentangkan akhir tahun ini. Abdul Khalid berkata, beliau tidak dapat memberi jaminan bila rakyat Selangor akan menikmati pengurangan cukai itu kerana ia bergantung sepenuhnya kepada jumlah peruntukan kewangan kerajaan negeri berdasarkan Bajet 2009.
Antara janji lain yang terkandung dalam manifesto PKR dan Pas ketika pilihan raya umum lalu ialah cuti bersalin 90 hari, membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor, bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke taman asuhan kanak-kanak, bantuan RM50 sebulan seorang bagi anak yang mengikuti pendidikan pra persekolahan dan memberi RM1,000 kepada anak Selangor yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, pengundi perlu lebih bijak dan matang dalam membuat penilaian serta mampu membezakan antara janji yang realiti atau sekadar cakap politik semata-mata. "Kita sudah menjangka apabila sampai masanya, mereka akan menghadapi kesukaran untuk menunaikan semua janji pilihan raya. Ketika pilihan raya, sesiapapun boleh buat janji dan mungkin ada pihak yang termakan dengan janji itu kerana apabila disebut penurunan cukai, maka memang sesuatu yang diterima oleh sebahagian pengundi. "Saya berharap semua orang sedar bahawa apa yang penting bukan janji, tetapi apakah kemungkinan janji itu mampu ditunaikan, antara janji dan realiti, antara sesuatu yang mungkin dicakap sebagai percakapan politik, tetapi mereka tahu tak mungkin dapat ditunaikan," katanya.
Namun, Najib perlu memberi ruang kepada kerajaan Selangor sekurang-kurangnya setahun dan jangan menilai terlalu awal mengenai kemampuan kerajaan negeri tersebut. Lainlah kerajaan Barisan Nasional yang sudah 50 tahun memerintah dan berkuasa atas segala-galanya.

Friday, May 2, 2008

Zenit, Rangers buat perhitungan


Zenit St. Petersburg melakar kejutan terbesar pada kempen Piala UEFA musim ini apabila menundukkan pasukan Jerman, Bayern Munich yang melakukan rombakan terbesar pada awal musim dengan membelasah 4-0 pada aksi separuh akhir kedua, sekali gus mara menerusi agregat 5-1.

Pasukan dari Rusia yang tidak diletakkan sebagai pilihan utama buat julung kalinya mara ke pentas final selepas CSKA Moscow pada tahun 2005.

"Zenit bermain dengan cemerlang malam ini (kelmarin)," kata penjaga gol Zenit, Vaycheslav Malafeev.

"Kami tidak mempersia-siakan peluang yang diperoleh."

Pada babak akhir, Zenit akan berdepan bekas kelab jurulatih Dick Advocaat, Rangers yang menewaskan Fiorentina 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

Rangers yang dibimbing oleh Advocaat pada tahun 1998 hingga 2002, seri tanpa jaringan dalam kedua-dua perlawanan separuh akhir sebelum kemenangan ditentukan menerusi sepakan penalti.

"Sudah tentu Zenit akan menjadi pasukan pilihan pada perlawanan akhir," kata jurulatih Bayern, Ottmar Hitzfeld.

Mufti Perlis kritik program hiburan melampau 'ala zoo' dalam khutbah

-Dipetik daripada Harakahdaily.net

KANGAR, 2 Mei (Hrkh)- Jika sebuah pemerintahan negara itu boleh diubah dengan perasaan dan kemarahan rakyat, mengapa tidak sebuah program hiburan yang tidak berprinsip juga diubah dengan kuasa rakyat, demikian intipati khutbah Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini.

Katanya, artis membawa budaya yang melampau, bercanggah serta merosakkan bangsa dan budaya Melayu, juga sering mengakibatkan penonton-penonton menjerit-jerit seperti dalam zoo adalah bertentangan dengan agama.

Semasa berkhutbah di Masjid Alwi dekat sini tengahari tadi, Asri menyentuh tentang program Jom Heboh di Perlis yang sibuk diperkatakan apatah lagi beliau sendiri menyatakan bantahan sekiranya program tersebut melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Islam bukanlah agama yang mengongkok sehingga menyusahkan manusia untuk hidup atau mengharamkan semua perkara untuk manusia. Demikian juga berhubung dengan hiburan. Islam tidak menghalang hiburan, tapi meletakkan batas dan mesti mengikut peraturan serta mempunyai garis panduan yang jelas.

"Festival Jom Heboh ini telah dibantah oleh beberapa buah negeri akibat pelbagai kontroversi yang timbul, sehingga ianya melangkah jauh beberapa negeri dan ia hinggap ke negeri ini. Kita bukan anti hiburan dengan mengatakan golongan muda, remaja hatta yang tuapun tak boleh berhibur, tapi mesti berperaturan.

"Kereta kita sendiri, harta sendiri yang dibeli dengan wang sendiri tapi apabila digunakan di jalanraya mestilah mengikut peraturan," katanya memberikan perumpamaan.

Katanya, setiap perkara mesti ada peraturannya dan Islam tidak pernah mengenal istilah hiburan tanpa batas atau hiburan tanpa had.

"Semua semua perkara ada 'rights and limits', ada hak dan hadnya maka apabila ia datang mestilah mengikut peraturan. Kita terkejut bila diiklankan ada artis yang dikenali bermasalah akan datang. Kita menegur bukan kerana beliau membuka baju tapi gelagatnya yangg berterusan. Kita mahu ada misi ada kejelasan.

"Kita tak mau apabila orang melihat hiburan bagikan pergi ke zoo, dengan melompat-lompat dan menjerit-jerit tanpa batasan dan tak tahu identiti.

Tapi dalam masa yang sama kita bercakap tentang memajukan Islam, memajukan umat Islam, mahukan minda kelas pertama tapi dalam masa yg sama kita menyogokkan kepada remaja dengan hiburan yang memperbodohkan mereka, dengan hiburan yang tidak membangunkan minda mereka," tegasnya.

Asri juga melihat betapa buruknya apabila hiburan yang dicontohi dari barat dibawa ke dalam minda anak-anak muda di negara ini.

"Artis di Barat menjerit-jerit dan melompat-lompat, jeritan dan lompatan itu menghasil wang yang banyak untuk menyara mereka dan jadikan manusia seperti kita menjadi pengikut, maka kita menjadi hamba kepada media.

"Tetapi jeritan artis dan remaja kita hanya yang didengar ialah tentang isu, cerita keruntuhan moral, penyalahgunaan dadah dan seumpamanya.

"Kita bercakap tentang kemajuan, adakah remaja kita tidak maju kerana tidak tahu melompat atau menjerit? Maka kita tak dapat menerima artis rock di negeri ini, hiburan kita berperaturan kita tak dapat terima unsur khurafat, campur gaul yang melampaui batasan, pendedahan tubuh dan tidak menghormati sensitiviti orang Islam dengan tidak dapat membezakan waktu solat. Sebelum ini kedengaran muzik dan bunyi-bunyian mengatasi suara azan. Kita telah banyak dicandukan dengan hiburan seperti ini setiap kali ada pesta hiburan yang meruntuhkan moral anak-anak kita," ujarnya.

Selain itu, beliau turut menyentuh tentang pembabitan anak-anak orang Melayu/Islam yang ramai setiap kali berlangsungnya pesta hiburan.

"Anak siapakah yang pergi ke hiburan itu? Kebanyakannya anak orang-orang Melayu yang mengaku Islam. Tapi apabila ada pesta buku, pesta ilmu atau pertandingan yang membangun minda yang kering-kontang adalah anak-anak orang Melayu yang mengaku Islam.

"Keruntuhan moral, keciciran dalam pelajaran dan pelbagai-bagai lagi disebut sedangkan negara ini semakin hari semakin dikutip dan direbut oleh orang lain. Alangkah buruk dan bodohnya generasi ini jika mereka terus dibiarkan tenggelam dalam hal yang sedemikian.

"Kita bukan ekstrimis agama atau anti hiburan tapi kita mahu melihat generasi ini maju ke hadapan dan demikian tanggungjawab kepimpinan orang Islam mestilah berfikir untuk memajukan umat mereka," serunya.

Asri turut menyeru ibu-bapa supaya mengambil tanggungjawab memastikan anak-anak agar tidak terbabit dalam Festival Jom Heboh di Perlis sekiranya ianya gagal mengikuti peraturan yang ditetapkan.

"Jika tidak menurut peraturan, ibu bapa mesti memastikan anak-anak mereka tidak terlibat sama. Allah Taala mengingatkan 'Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, nanti kamu akan disentuh oleh api neraka'.

"Jika mematuhi aturan, bolehlah pergi melawat pameran atau hiburan yang tidak melampau. Tapi jika tidak patuh, kitalah ibu bapa yang bertanggungjawab memastikan unsur-unsur ini tidak meyusup masuk ke jiwa anak-anak.

"Jangan fikir kita sebagai ibu bapa siapalah kita untuk menghalang suatu program yang besar, tetapi hendaklah fikir kitalah yang bertanggungjawab dan memikul amanah.

"Jika pilihanraya yang membabitkan mengubah pemerintahan negara boleh dibubah dengan perasaan dan kemarahan rakyat apabila setiap orang merubahnya, demikianlah juga hiburan, apabila ianya tidak berprinsip, ianya boleh diubah dengan kuasa rakyat," katanya lagi. - mr