Sunday, September 28, 2008

ALONSO JUARA GP MALAM SINGAPURA



-Dipetik daripada cyberita.asia1.com.sg
BEKAS juara dunia berganda, Fernando Alonso, mencipta sejarah menjadi pemenang perlumbaan malam Formula Satu yang pertama dalam sejarah apabila beliau memenangi Grand Prix Singapura di Litar Marina Bay semalam.

Bermula dari petak ke-15, pemandu Renault itu memanfaatkan beberapa insiden yang berlaku untuk mencatat keputusan terbaik beliau musim ini.

Nico Rosberg daripada pasukan Williams menduduki tempat kedua, sementara pendahulu senarai pelumba, Lewis Hamilton, di tempat ketiga, sekali gus melebarkan jurang mata antara beliau dengan pesaing terdekatnya, Felippe Massa daripada Ferrari, kepada tujuh.

'Hebat sekali,' kata Alonso selepas perlumbaan.

'Sukar untuk saya mempercayainya. Mungkin saya perlu dua hari untuk percaya. Pada awal tahun ini mustahil untuk memikirkan kami boleh menang, tetapi sejak Jumaat lalu, kami memang amat kompetitif. Semalam, tiada nasib, hari ini bernasib baik,' katanya.

Alonso juga tidak menolak bahawa Kereta Keselamatan telah membantu beliau menang.

Bagi pasukan Ferrari pula, semalam satu malam penuh bencana yang mungkin mahu segera dilupakan mereka.

Massa, yang bermula dari petak pertama, kelihatan selesa di hadapan dan kian menjauhkan dirinya daripada pelumba lain. Namun, berlaku kemalangan yang menukar keseluruhan perlumbaan.

Pemandu Renault, Nelson Piquet, merempuh tembok dan mengundang Kereta Keselamatan masuk ke litar.

Dalam keadaan kereta berebut-rebut masuk dan mengisi minyak, pasukan Ferrari melakukan kesilapan besar apabila Massa memecut keretanya sedang pam minyak masih pada corong tangkinya.

Akibatnya, bukan saja seorang kru Ferrari tersungkur, Massa menarik sekali pam itu hingga ke hujung pit sebelum terpaksa berhenti bagi kru Ferrari mencabutnya.

Massa keluar semula di tempat corot dan kemudian terpaksa melalui penalti melalui lorong pit kerana insiden tadi.

Kimi Raikkonen yang menduduki tempat ketiga sebelum Kereta Keselamatan keluar, gagal mengekalkan kedudukannya dan menyertai semula di bahagian belakang.

Juara dunia itu akhirnya menamatkan perlumbaannya apabila merempuh tembok hanya empat pusingan sebelum tamat perlumbaan 61 pusingan ketika berada di tempat kelima.

Hamilton memungut enam mata daripada perlumbaan ini, sementara Massa dan Raikkonen gagal memungut sebarang mata.

Sunday, September 21, 2008

Wednesday, September 3, 2008

Tuesday, September 2, 2008