Saturday, July 18, 2009

Malaysia 2-3 Manchester United


AMRI Yahyah jelas bertukar menjadi idola bola sepak baru peminat tempatan, semalam - segala-galanya menjurus kepada dua gol oleh pemain perancang itu yang membolosi gawang gergasi bola sepak Inggeris, Manchester United di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

“Ini adalah suatu kenangan manis yang tidak akan luput daripada memori saya,” kata pemain perancang Selangor itu yang membuat United terasa cemas satu ketika dengan kelibat jaringannya sebelum Michael Owen menjadi penyelamat pelawat dengan gol kemenangan.

Apapun, secara yakin dia menyuarakan gol pertama minit ke-45 ketika menewaskan penjaga gol tersohor, Edwin Van der Sar tidak mengejutkan kerana dia tahu pemain tinggi lampai dari Belanda itu gemar keluar daripada garisan dan dia berjaya menghukumnya.

“Saya sudah membaca gerakannya (Edwin) dan gembira rembatan jarak jauh itu masuk ke dalam jaring. Gol kedua dijaringkan selepas saya melihat Ben (Foster) tersalah langkah dan dia tak dapat kejar bola. Jadi, saya mencuri kesempatan itu,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurulatih K Rajagobal enggan terbawa-bawa dengan kejayaan meledakkan dua gol menentang United, semalam.

Menyingkap sejarah, barisan terbaik ‘Harimau’ yang dibarisi Rajagobal sendiri, Allahyarham Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh Singh hanya mampu menjaringkan satu gol pada 1981 dalam kekalahan 3-1 disusuli dengan dua perlawanan persahabatan Selangor menentang United pada 1995 yang berakhir dengan kekalahan 6-1 dan 4-0.

Pertemuan pada 2001 menyaksikan Malaysia akur 6-0 kepada pasukan bintang yang diketuai David Beckham.

“Saya tidak mahu terbawa-bawa dengan keputusan ini, Ia hanya satu perlawanan dalam rangka persiapan (Sukan Sea Laos).

“Pemain perlu diberi masa tingkatkan keyakinan,” katanya.

No comments: