Thursday, February 11, 2010

Red Bull RB6 tampil lebih garang

Dipetik daripada kosmo.com.my

HAMBURG – Red Bull Racing menjadi pasukan terakhir yang memperkenalkan jentera baru mereka bagi menghadapi perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.

Jentera RB6 yang mengalami sedikit perubahan berbanding jentera Red Bull musim lalu diperkenalkan buat pertama kali di Litar Jerez, Sepanyol semalam.

Red Bull yang menduduki tempat kedua dalam kategori pengeluar dan pemandu menerusi Sebastian Vettel musim lalu berharap mereka akan mencapai keputusan yang lebih baik musim ini.

Pada musim 2009, jentera RB5 berjaya memberi cabaran sengit kepada pasukan elit F1 lain seperti Brawn GP, Ferrari, McLaren serta BMW Sauber apabila Vettel bertarung untuk merebut gelaran dunia sehingga dua perlumbaan terakhir.

Namun dia terpaksa akur dengan kehebatan pemandu Brawn GP, Jenson Button yang muncul juara dunia.

Pada sesi ujian rasmi kedua di Litar Jerez, Sepanyol Jumaat ini, pemandu Jerman berusia 22 tahun itu dijangka berentap dengan rakan senegaranya yang juga juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher.

Schumacher, 41, akan menguji jentera baru Mercedes GP yang dikenali sebagai W01.

“Saya sudah tidak sabar untuk bersaing dengan Michael walaupun ia hanyalah sesi ujian,” kata Vettel.

Setakat ini, Ferrari muncul satu-satunya pasukan yang dilihat menyerlah apabila menguasai sesi ujian rasmi pertama selama tiga hari di Valencia, Sepanyol minggu lalu. – Agensi

Monday, January 25, 2010

Silver Arrow taruhan Mercedes GP Petronas


Dipetik daripada utusan.com.my

STUTTGART, Jerman – Pasukan Formula Satu (F1) Mercedes GP Petronas yang dikenali sebagai ‘Silver Arrows’ semalam melancarkan jentera baru yang akan dijadikan sandaran mengharungi musim perlumbaan 2010.

Kereta lumba yang berwarna hijau dan perak itu menggambarkan hubungan budaya ‘Silver Arrows’ dan penaja utamanya Petronas didedahkan kepada para tetamu dan media diikuti kemunculan juara tujuh kali, Michael Schumacher dan Nico Rosberg.

Ia merupakan gandingan pemandu Jerman untuk julung kali bagi pasukan tersebut pada upacara yang ringkas di Muzium Mercedes-Benz di hadapan 600 tetamu, termasuk 200 media serta 200 pekerja Mercedes-Benz di sini, semalam.

Ketua Pasukan Mercedes GP Petronas, Ross Brawn berkata, pasukannya telah bekerja keras sepanjang tahun lalu bagi membangunkan jentera MGP W01 dan setiap orang dalam pasukan bersedia untuk menghadapi ujian pertama di Valencia, Sepanyol pada minggu depan.

‘‘Kita mempunyai dua pemandu hebat, Nico dan Michael yang akan mewujudkan gandingan terbaik dan menarik di grid dan dengan sokongan Mercedes-Benz, Aabar iaitu rakan kongsi baru kami serta Petronas dan semua penaja, semua orang akan membuat jangkaan yang baik pada musim 2010,’’ katanya pada majlis pelancaran tersebut.

Legasi ‘Silver Arrows’ bermula pada 1934 apabila kereta lumba Mercedes W25 yang berwarna putih dikikis bagi mengurangkan beratnya dalam usaha menepati peraturan berat, iaitu 750 kilogram, sehingga menyebabkan warna perak kelihatan pada permukaan aluminium kereta itu.

Ditanya cabaran dihadapi ketika mereka bentuk jentera baru itu, Brawn berkata, ia lebih mencabar berbanding tahun lalu yang membabitkan aspek-aspek saiz tayar, perubahan dalam pembinaan kereta, pengisian minyak dan aerodinamik.

Menurut beliau, kerja-kerja mereka jentera baru itu bermula pada musim bunga tahun lalu dengan saiz pasukannya bertambah semasa proses mereka itu dijalankan.

Sementara itu, Schumacher berkata, beliau komited sepenuhnya terhadap cabaran baru ini sambil menambah beliau sangat bermotivasi untuk menghadapi musim baru dan tidak sabar untuk menunggu ujian pertama di Valencia.

‘‘Saya yakin Mercedes GP Petronas akan berada pada kedudukan yang baik pada musim ini dan sudah semestinya saya akan memberi yang terbaik,’’ ujarnya.

Menurutnya, memandu untuk Mercedes-Benz semula adalah seperti ‘sirih pulang ke gagang’ kerana beliau memulakan karier sebagai pemandu kereta lumba dengan pasukan itu.

‘‘Pada musim ini saya berasa sebagai satu permulaan baru buat saya dan saya sangat bermotivasi,’’ jelas pemandu yang berusia 41 tahun itu.

Sementara itu, Rosberg berkata, sejak menyertai pasukan itu pada November lalu, beliau telah menghabiskan banyak masa di kilang pasukan tersebut di Bracley dan Stuttgart yang telah memberi peluang kepadanya untuk mengenali ahli pasukan itu.

‘‘Saya telah melihat bagaimana mereka bekerja keras terhadap kereta baru dan saya tidak sabar untuk menunggu peluang memandunya,’’ ujar Rosberg.

Rosberg akan memandu jentera baru itu di Valencia pada hari pertama dan kedua diikuti oleh Schumacher pada hari ketiga. – Utusan


Jom Download: Hot Shot Full 1-16: Taiwanese Series[Complete]

Saturday, January 9, 2010

Jawatan Kosong di Karangkraf

Tarikh Tutup :
31.01.2010

Jawatan :
PROGRAMMER (CONTRACT) 1 YEAR
KERANI/RECEPTIONIST
PENGATURCARA/PEMBINA LAMAN WEB
PEREKA LAMAN WEB / WEB CONTENT
EKSEKUTIF PENTADBIRAN/HR/PURCHASING
IT TECHNICAL SUPPORT/ADMINISTRATION
SYSTEM ENGINEER / ADMINISTRATOR
OPERATOR CTP / PRA CETAK/PREPRESS
PELATIH PENCETAK/PEMBANTU PENGELUARAN
PENOLONG OPERATOR-MESIN PERCETAKAN WEB
PEMBANTU PEMASARAN
EKSEKUTIF JUALAN IKLAN

Klik di sini untuk maklumat lengkap bagi setiap jawatan

Calon yang berminat dikehendaki menghantar permohonan berserta resume lengkap, gaji sekarang dan gaji dipohon, nombor telefon, gambar berukuran passport (tidak dikembalikan) dan salinan sijil-sijil akademik ke alamat seperti di bawah:


Anda boleh menghantar resume untuk rujukan kami sekiranyanya jawatan yang dikehendaki tiada di dalam senarai.
Resume anda akan hanya dijadikan rujukan untuk tempoh 3 bulan.


PENGURUS BESAR, JABATAN SUMBER MANUSIA, KUMPULAN KARANGKRAF SDN BHD (Co No:54179-V)
Lot 2, Jalan Sepana 15/3, Off Persiaran Selangor, Seksyen 15,

40200 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

* Sila tulis jawatan yang dipohon di hujung kiri atas sampul surat anda

atau

Emel : recruit.hr@karangkraf.com


Jawatan Kosong di MIDA

Jawatan kosong di Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA)
Tarikh tutup 20 Januari 2010

Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) adalah merupakan sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang bertanggungjawab terhadap penggalakan dan penyelarasan pembangunan perindustrian di negara ini. Jika anda seorang yang dinamik, berkebolehan untuk berkomunikasi dan menulis dalam Bahasa Inggeris serta mempunyai kelayakan, anda dijemput untuk mengisi jawatan-jawatan berikut:

1.PEGAWAI EHWAL EKONOMI, GRED E48
2.PEGAWAI EHWAL EKONOMI, GRED E44
3.PUSTAKAWAN, GRED S41
4.JURUAUDIT, GRED W41
5.PENOLONG PEGAWAI TEKNOLOGI MAKLUMAT, GRED F29
6.PEMBANTU EHWAL EKONOMI, GRED E17
7.PEGAWAI KHIDMAT PELANGGAN, GRED N17

IKLAN JAWATAN KOSONG
BORANG JAWATAN TETAP
BORANG JAWATAN KONTRAK

Friday, August 14, 2009

Asri Pergi Tak Kembali

Dipetik daripada kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Vokalis dan ketua kumpulan nasyid popular Rabbani, Mohd. Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia secara mengejut selepas rebah di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri di sini semalam.

Beliau yang mesra dengan panggilan Ustaz Asri di kalangan rakan-rakan artis menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.30 pagi akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Pantai Bangsar.

Anak kelahiran Bukit Naga, Klang itu tiba-tiba jatuh dan tidak sedarkan diri semasa menjalani sesi latihan untuk persembahan majlis pelancaran program Syahadah musim kelima terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menurut seorang anggota Rabbani iaitu Mohd. Asri Ubaidullah, Asri kelihatan kurang sihat sejak Rabu lalu dan mengadu sakit tekak serta muntah pagi semalam.

"Sejak dua minggu lalu, memang kami agak penat disebabkan jadual dan aktiviti persembahan yang padat memandangkan bulan Ramadan bakal menjelang tidak lama lagi.

"Pagi tadi (semalam) Allahyarham ada memberitahu bahawa dia sakit tekak dan muntah tetapi beliau segera minum air masak yang dicampur madu bagi mengurangkan masalah yang dihadapi.

"Beliau gagahkan diri juga untuk melakukan persembahan di RTM sempena pelancaran program Syahadah. Tiba-tiba tidak semena-mena sewaktu memegang mikrofon sebelum sempat membuat persembahan di atas pentas, Allahyarham rebah dan tidak sedarkan diri," jelasnya.

Lagu yang ditulis sendiri oleh Allahyarham, Pergi Tak Kembali, itu cukup mengingatkan semua tentang kematian dan bekalan yang perlu dipersiapkan setiap makhluk bernama manusia.

Kata seorang teman Che Amran daripada kumpulan Raihan yang telah lama mengenali Asri : "Dalam hati saya, setiap kali mendengar berita kematian sesiapa sahaja termasuklah rakan-rakan, saya berkata, biarlah, itu takdir. Tapi saya selalu minta kepada Tuhan, janganlah orang berkenaan Ustaz Asri.

"Tapi panggilan Ilahi tidak mampu dilawan. Hari ini (semalam) Ustaz Asri dijemput Ilahi. Mulanya saya anggap berita yang diterima menerusi panggilan telefon sekadar gurauan.

"Dalam berdebar-debar, saya hubungi Azadan (anggota Rabbani) dan barulah saya tahu, benarlah Asri sudah tiada."

Bagi pencinta dan seluruh penggiat muzik nasyid di Malaysia, nama Asri muncul nombor satu sebagai tiang yang menjadi tunjang kekuatan. Dialah sumber inspirasi kepada mana-mana sahaja anak-anak muda yang mula ingin menginjak ke dunia nasyid.

"Bagi saya, Allahyarham adalah pahlawan sejati kepada perkembangan muzik nasyid kontemporari. Dialah pahlawan yang akan mengetuai gerakan kami.

"Dialah satu-satunya orang yang akan menjadi rujukan dan inspirasi penyanyi nasyid baru. Saya sendiri membesar dengan lagu-lagu dendangan Allahyarham sewaktu Allahyarham masih bersama Nada Murni lagi," tambah Che Amran yang ditemui di lobi Pusat Perubatan Pantai Bangsar, Kuala Lumpur ketika menziarahi jenazah Asri.

Pemergian Allahyarham pada usia 40 tahun sungguh mengejutkan dan merupakan kehilangan besar kepada negara khususnya kepada bidang dakwah Islam menerusi seni.

Keunggulan anak ketujuh daripada 13 adik-beradik itu di mata pencinta muzik nasyid bukan hanya tertumpu kepada keindahan melodi dan kelunakan suaranya yang sukar ditemui persamaan dengan mana-mana penyanyi nasyid yang ada.

Sebaliknya pengetahuan agama yang tinggi dan pekerti Asri itu sendiri sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja pantas menyenangi kehadirannya.

Dua hari sebelum kematiannya, Allahyarham bersama ahli kumpulan Rabbani yang lain iaitu Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Loqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman sempat mengadakan satu sidang media dan memeterai satu lagi perjanjian kerjasama dengan Hotel Singgahsana, hotel yang tidak pernah mengenepikan nama Rabbani apabila tibanya Ramadan sejak 12 tahun lalu.

Seraya tersenyum, ini antara bait-bait terakhir yang dilafazkan Allahyarham ketika sesi sidang media itu berlangsung: "Orang kata, apabila tiba bulan puasa kalau boleh kurangkan bekerja dan banyakkan ibadah, tetapi bagi saya pula, kerja ini (membuat persembahan) merupakan ibadah kepada saya."

Kepada Ustaz Asri, semua perlakuan, perbuatan dan aktiviti seni yang diceburinya sejak bersama Nada Murni lagi merupakan satu ibadah. Lirik-lirik yang ditulis Allahyarham sendiri banyak berkisar tentang dakwah Islam yang mengajak umat agar kembali ke jalan Allah.

Disahutnya panggilan Ilahi tanpa mengundang banyak keresahan keluarga, peminat dan rakan-rakan, Allahyarham Asri telah pergi meninggalkan semua dalam sekelip mata.

Sepantas itu nyawanya diambil semula oleh Sang Pencipta. Biarpun pemergiannya diratapi dan ditangisi, Asri pergi dan takkan kembali lagi.

Allahyarham yang meninggal dunia pagi semalam ada menulis dalam blognya asrirabbani@blogspot.com yang berbunyi: "Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat. Aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku...."